Presiden Persatuan Gerakan Demokrasi Profesional (Prodem), Md. Shukri Shuib berkata, konflik yang membentuk dua kem dalam parti itu kini hanya mencemarkan imej PKR dan memberi kesan kepada nama baik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sekarang, PKR menjadi parti yang paling berkecamuk dalam PH.

“PKR memerlukan kepemimpinan baharu yang mampu stabilkan parti. Jika presiden tidak boleh pupuk perpaduan, ia perlu bercuti atau meletakkan jawatan. Ini mengenai kestabilan parti.

“PKR perlu henti segera konflik yang melanda. Kalau tidak, mereka tidak akan mendapat sokongan rakyat serta kerajaan kini juga akan kehilangan sokongan masyarakat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas konflik yang berlaku di antara Anwar dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 17 Julai lalu, Anwar ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat meminta Azmin meletakkan jawatan sekiranya video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip dirinya disahkan benar.

Lantaran kenyataan itu, Azmin membalas dengan meminta Anwar untuk melihat cermin terlebih dahulu.

Tindakan kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu telah mencetuskan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Majlis Pimpinan Negeri yang masing-masing menyatakan sokongan mengikut pemimpin yang disukai mereka.

Membawa kepada peristiwa kelmarin, beberapa pemimpin yang dikatakan condong kepada kem penyokong Azmin tidak hadir pada Majlis Perasmian Temu Rapat Pimpinan PKR Pusat di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan yang dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Md. Shukri menambah, gelaran bakal Perdana Menteri kepada Anwar selama ini perlu dihentikan kerana perkara itu juga dikatakan menjadi punca kepada keretakan PKR.

Katanya, watak bakal Perdana Menteri yang cuba dibawa oleh Anwar juga perlu dihentikan kerana ia tidak termaktub dalam mana-mana sistem politik.

“Tidak ada dalam sistem politik untuk seseorang menggelarkan dirinya bakal Perdana Menteri. Gelaran itu hanya mengganggu gugat keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa.

“Rakyat dan masyarakat antarabangsa akan menganggap bahawa Tun Dr. Mahathir hanya memangku jawatan Perdana Menteri selama ini dan mereka hilang keyakinan terhadap kerajaan selain enggan memberi kerjasama,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE