Hal ini kerana, menurut Ketua Umum Pakatan Harapan yang baru dibebaskan dari penjara dan diberikan pengampunan tanpa syarat itu, wujud kegelisahan terhadap penglibatan Daim dalam skandal terdahulu.

“Orang kata tak perlu ungkit kesilapan masa lalu, yang mana betul, tetapi bagi saya kalau kita mahu bercakap tentang akauntabiliti yang demokratik, ia tidak seharusnya terhad pada Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri).

“Namun, saya tidak fikir ia harus sehingga menjadi dendam,” kata Anwar seperti dipetik daripada wawancara eksklusif bersama Malaysiakini di kediaman beliau dekat sini hari ini.

Sebagai rekod, sebelum wujudnya kerjasama antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan PKR menerusi PPBM, Daim merupakan antara individu yang lantang dikritik oleh Anwar.

Penasihat PKR itu malah pernah menyifatkan Dr. Mahathir serta Daim sebagai penyebab kepada kapitalisme kroni yang didakwa semakin parah di negara ini.

Daim hari ini dilantik Dr. Mahathir sebagai Ketua Majlis Penasihat Kerajaan setelah Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan membentuk kerajaan. - UTUSAN ONLINE