Katanya, beliau telah dinasihatkan oleh kepemimpinan parti itu supaya jangan membuat apa-apa kenyataan mengenainya.

“Saya kena patuh pada pandangan mereka, jangan buat apa-apa kenyataan sehingga berunding dengan semua.

“Tunggu hingga habis pemukiman yang dengar semua pandangan, baru kita akan buat ulasan. Tetapi bukan hari ini (buat kenyataan). Tunggu selesai,” katanya kepada para pemberita selepas selesai menyampaikan ucap utama pada sesi Pemukiman Pimpinan PKR di sebuah hotel di sini hari ini.

Para wartawan menunggu Anwar untuk mendapatkan ulasan beliau mengenai konflik dalaman yang melanda PKR selepas sesi pemukiman itu dirasmikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad, malam tadi.

Kira-kira 15 Ahli Parlimen dan 21 Ahli Pimpinan Pusat PKR termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada sesi hari ini.

Ketika ditanya mengenai nasihat Dr. Mahathir supaya pergeseran dalam PKR dihentikan, Anwar berkata, laporan media mengenainya adalah tidak tepat.

“(Apa yang dimaksudkan Dr. Mahathir) Beliau kata di kalangan Pakatan Harapan mesti teguh, (tetapi media) kata bergaduh dalam PKR. Saya minta supaya dengar dulu.

“Hari ini tidak ada komen (lagi), esok selesai (pemukiman) baru kita komen. Itu lah keputusannya,” ujarnya sambil berlalu. - UTUSAN ONLINE