Sedangkan menurut Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan, tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha melaksanakan janji-janji yang dibuat Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat.

Malah tegasnya, beliau sendiri tidak pernah mengingati mempunyai percanggahan atau pertembungan dengan Dr. Mahathir berhubung soal peralihan kuasa itu seperti yang ditafsir oleh pihak luar.

“Soal peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada saya ini menjadi masalah kepada orang luar, tetapi bukan kepada saya.

“Dalam kalangan pemimpin PH juga tidak berganjak daripada janji yang kita sepakati, tidak ada perebutan sama ada harus lambat atau cepat, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan Dr. Mahathir dan saya,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma PKR negeri di Bayan Baru, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak mempertikai permainan orang di sekeliling untuk menganggu-gugat proses peralihan kuasa antaranya dengan Dr. Mahathir.

Namun, ujar beliau, pihak berkenaan tidak harus mengganggu pendiriannya dan PKR yang sentiasa tegas dalam proses tersebut dan memberi ruang kepada Dr. Mahathir mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak pernah mempertikai keikhlasan Dr. Mahathir, namun ini tidak mematikan pandangan negatif.

“Cuma saya ingin berpesan, kita ada masalah negara, masalah rakyat, isu pengangguran dan pencemaran (di Johor), ini yang harus kita tangani.

“Bagaimana untuk kita dapatkan pelaburan dalam negara atau asing, kemasukan pelancong asing jika negara tidak stabil dan tidak ada keyakinan daripada pihak luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE