ANINA SAADUDIN

Kata Anina, sebagai rakyat Malaysia, adakah beliau tidak boleh bertanyakan soalan kepada kartel Tun Dr. Mahathir Mohamad tersebut, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila ditanya mengenai pelbagai soalan sebelum ini, tidak pernah mempertikai atau mempersoalkan kelayakan seseorang.

“Pada tahun 2015, Tun Daim sangat gembira apabila saya bertanya kepada Perdana Menteri tentang RM2.6 bilion dan Perdana Menteri tidak pun bertanya kembali ‘siapa saya’. Sekarang apabila tiba giliran saya bertanya kepada Tun Daim kenapa beliau (Tun Daim) melatah?

“Adakah undi saya dan 14.7 juta pengundi Malaysia ini tidak bermaksud ‘sesiapa’ bagi Tun Mahathir, keluarga dan rakan- rakannya itu? Apabila hampir pilihan raya, boleh pula beliau turun berkempen dan memfitnah Najib, tetapi isu sendiri tidak boleh di­sentuh.

“Bagi menjawab soalan Tun Daim tentang siapa saya, saya adalah rakyat Malaysia dan Daim juga sama. Saya ada satu undi dan Tun Daim juga ada satu undi. Beza antara kami adalah, saya berbilion kali kurang kaya daripada Daim tetapi itu tidak menghalang saya untuk bertanya tentang kekayaan Tun Daim atas landasan demokrasi dan transparensi,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Anina mendesak Dr. Mahathir supaya menjawab dakwaan sama ada benar atau sebaliknya bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya memiliki 488 buah syarikat dengan kekayaan bernilai RM170 bilion.

Selain Dr. Mahathir, Anina juga menggesa Daim menjelaskan bagaimana beliau memiliki dana begitu besar untuk membeli Kumpulan Bank ICB Financial Group pada 1994 yang memiliki rangkaian di 13 negara dan kebe­tulan pada masa itu, Bank Negara Malaysia kehilangan RM30 bilion secara misteri.

Bagaimanapun, Daim ketika bercakap kepada pemberita dalam satu majlis kempen di Shah Alam, Selangor semalam telah mempersoalkan kelayakan Anina bertanyakan soalan tersebut.

Sementara itu, Anina berkata, beliau tidak kisah jika Daim mahu menyaman beliau berhubung perkara berkenaan.

“Apa yang saya ada hanya rumah dan tiga orang anak. Tun Daim boleh mengambil rumah saya tetapi bukan anak-anak saya kerana saya akan berikan nyawa saya untuk pertahankan anak-anak.

“Walaupun saya seorang ibu tunggal, anak-anak saya, integriti saya dan Tuhan saya sudah cukup untuk melengkapi hidup saya. Saya tidak pernah berkuasa dan tidak pernah mencuri daripada rakyat, saya hanya sekadar bertanya,” katanya.