Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sejarah sebaliknya membuktikan bahawa pengganas komunis telah banyak melakukan kekejaman dan keganasan kepada rakyat dan negara ini.

Kata beliau, ini dirasai sendiri oleh anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka, termasuk mereka yang masih hidup sehingga kini.

“Usaha mengangkat komunis, adalah tidak wajar kerana ramai rakyat kita yang mengalami penderitaan ekoran kekejaman dan keganasan mereka selain kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) negeri ini di Alor Tampang, Beseri di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PVATM, Datuk Shahruddin Omar dan Yang Dipertua PVATM negeri, Datuk Idrus Kassim.

Terdahulu pada majlis tersebut, Azlan turut menyematkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada para veteran.

Azlan seterusnya menegaskan bahawa menyuarakan tentang isu-isu sensitif yang menyentuh perihal agama dan kebebasan melakukan seks, bukanlah merupakan hak mana-mana individu.

Kata beliau, perkara-perkara seumpama itu tidak diterima oleh sebahagian besar rakyat di negara ini.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak terutama para pengguna laman media sosial supaya mengenakan ‘sekatan’ pada diri agar tidak menulis isu-isu sensitif.

“Jangan sentuh tentang isu-isu sensitif kepada mana-mana pihak kerana ini bukanlah tentang isu dan soal kebebasan atau hak (menulis isu sensitif),” katanya. - UTUSAN ONLINE