Tanpa menghurai lanjut maksud kemungkinan politik tersebut, Naib Ketuanya, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, hanya masa akan menentukan kesudahan episod seterusnya, tetapi dengan tegas memberitahu PKR tidak boleh digunakan untuk kepentingan individu dan keluarganya.

Pada masa yang sama, Mohd. Nazree berkata, AMK juga menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR yang enggan memecat Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, walaupun lelaki itu secara terbuka mengakui dia dalam video seks sejenis dan kemudiannya mengaitkan skandal tersebut dengan Mohamed Azmin.

Tegasnya, Haziq Abdullah perlu dipecat dan parti perlu konsisten dalam isu fitnah sebegitu seperti mana pendirian PKR dalam mendepani isu serupa membabitkan Anwar pada 1998, dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan serta video seks ‘china doll’.

“Itu (pertembungan Mohamed Azmin dengan Anwar) kita serah pada masa yang akan menentukan, soal sama ada ia berlaku atau tidak itu kita serah pada situasi tetapi apa pun, saya ingin menegaskan di peringkat pemuda (AMK) kita berdiri teguh mempertahankan Timbalan Presiden dalam tuduhan fitnah ini.

“Selepas berbincang panjang, kita bersedia untuk berdepan apa juga situasi yang bakal berlaku dalam politik, keadilan (PKR) dan juga di peringkat negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tergempar AMK Pusat yang dipengerusikan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham di sini malam ini.

Kepada soalan apakah pendirian AMK menolak kepentingan individu dan keluarga itu merujuk kepada Anwar dan keluarganya, Mohd. Nazree tidak menyatakannya secara jelas tetapi memberitahu, PKR perlu kembali kepada asas reformasi demi kepentingan rakyat serta negara keseluruhannya.

“Berdasarkan kondisi semasa politik dan perkembangan isu yang berlaku, kami di peringkat pemuda telah berbincang panjang dan garis politik ini tidak boleh ditentukan kerana kepentingan individu dan keluarganya tetapi harus balik kepada semangat reformasi,” ujarnya berkias.