Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Saiful Wan Jan bahawa Pakatan Harapan berkemungkinan membentuk kerajaan di Perlis apabila pemimpin serta wakil Barisan Nasional (BN) dikatakan bakal melompat parti.

Ketuanya, Mohd. Shahrun Radzi Salehudin berkata, hal demikian kerana Wan Saiful tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut dalam mesyuarakat Pakatan Harapan Perlis sebelum-sebelum ini.

“Setelah membaca kenyataan Wan Saiful saya selaku Ketua AMK Perlis amat terkejut. Menjadi persoalan adakah perkara ini telah dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan Wan Saiful ini bercakap mewakili Bersatu ataupun mewakili Pakatan Harapan Perlis.

“Saya juga mendapat makluman Wan Saiful adalah Setiausaha Bersatu Perlis yang baharu dilantik dan mengikut hierarki sepatutnya perkara tersebut harus dibawa ke mesyuarat jawatankuasa Pakatan Harapan negeri.

“Malah apabila saya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil, beliau menyatakan tidak mengetahui mengenai perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Wan Saiful mendedahkan terdapat pemimpin dan wakil rakyat BN menyatakan hasrat untuk keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Wan Saiful dilaporkan berkata, pemimpin-pemimpin terbabit telah mengadakan pertemuan dengan beliau bagi menyatakan hasrat tersebut.

Bagaimanapun hari ini, kesemua sembilan wakil rakyat BN negeri ini menyatakan pendirian tidak akan berganjak daripada parti itu sekali gus menafikan dakwaan Bersatu bahawa terdapat dalam kalangan mereka bakal keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

ADUN Santan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman yang mewakili kesemua wakil rakyat tersebut menegaskan, dakwaan Bersatu bahawa terdapat dalam kalangan pemimpin dan wakit rakyat menyatakan hasrat menyertai parti itu adalah satu pembohongan besar dan tidak berasas.- UTUSAN ONLINE