Menurut sumber dalaman parti itu di negeri ini, penamatan jawatan Ameir itu telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, baru-baru ini.

Katanya, difahamkan penamatan jawatan tersebut adalah berkaitan dengan kemelut yang melanda Bersatu negeri sebelum ini.

“Ameir akan digantikan dengan pemimpin lain dan ia berkemungkinan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bersatu Pusat memutuskan untuk mengambil alih kepemimpinan parti itu di Perlis sehingga kemelut yang melanda Bersatu negeri itu selesai.

Dalam satu sidang akhbar khas pada 9 Januari lalu, hampir keseluruhan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap-sayap Bersatu tampil mendesak Ameir melepaskan jawatan.

Kesemua mereka yang diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim itu sepakat menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir dan menyifatkan beliau telah gagal menguruskan parti dengan baik.

Kemelut tersebut mula berbangkit apabila Wan Saiful Wan Jan yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Bersatu negeri mendedahkan mengenai skandal melibatkan ratusan ribu ringgit membabitkan parti itu di Perlis.

Dedah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, beliau juga ditawarkan sejumlah wang untuk mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

Sementara itu, sumber berkenaan berkata, perjumpaan dengan dengan Bersatu Pusat akan diadakan sekali lagi pada hujung bulan ini atau awal Mac depan.- UTUSAN ONLINE