Presidennya, Mohamad Sabu berkata, dalam menghadapi mana-mana pilihan raya, pertamanya ialah jentera dan kedua membentuk persepsi masyarakat apabila menjelang pilihan raya, dan itu yang perlu dibina partinya.

“Misalnya Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, di Parlimen Kota Raja majoriti sehingga 71,000, itu bukan kerana calon ataupun jentera yang hebat tetapi persepsi masyarakat berjaya diubah untuk menolak lawan kita.

“Persepsi perlu diubah supaya ia memihak kepada kita,” katanya yang juga Menteri Pertahanan Malaysia itu semasa menyampaikan ucapan pada Konvensyen Biro Pilihan Raya Amanah Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Pengerusi Amanah Negara Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persepsi yang terdapat di sini ialah Amanah parti Semenanjung.

“Selagi kita tidak dapat pecahkan minda ini, rakyat Sarawak pasti akan kurang memberi undi kepada parti Amanah.

“Tugas besar buat kita untuk memecahkan persepsi itu, bahawa kita sebenarnya ialah parti nasional yang mewakili semua di peringkat nasional dan negeri.

Katanya, DAP agak berjaya di Sarawak kerana mereka ‘dianggap’ bukan parti Semenanjung dan memperoleh kemenangan yang agak besar pada PRU yang lepas. - BERNAMA