Keputusan asal dalam perjanjian membabitkan PKR, DAP, Amanah dan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu sudah termaktub dalam perjanjian awal Pakatan Harapan (PH) yang sebulat suara menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Menurutnya, pada masa itu juga Anwar telah diputuskan sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr. Mahathir.

"Pendirian Amanah dalam soal ini jelas dan tidak berubah. Perkara itu telah diputuskan sejak awal-awal lagi. Kita berpegang kepada perjanjian itu.

"Kita menerima Dr Mahathir ketika itu sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH ) secara consensus yang juga Perdana Menteri manakala Perdana Menteri kelapan ialah Anwar," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Amanah negeri Perak, Asmuni Awi dan barisan kepimpinan negeri.

Salahuddin berkata, beliau serta beberapa pimpinan tertinggi Amanah terlibat yang dalam penubuhan PH mengetahui tentang perjanjian itu.

Bagaimanapun kata beliau, tiada tempoh tarikh (peralihan) jawatan diputuskan pada mesyuarat bersama itu tetapi semua (wakil-wakil parti) bersetuju Anwar sebagai pengganti Dr. Mahathir.- UTUSAN ONLINE