Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, produk tersebut akan dijual di dalam pesawat serta melalui platform e-dagang milik syarikat yang mempunyai 250 kapal terbang dan membawa 100 juta penumpang.

“Dua minggu lepas kita dapat persetujuan supaya 550 produk untuk dipasarkan oleh AirAsia di bawah kempen Beli Barangan Malaysia. Tidak lama lagi terdapat lapan jenis makanan dihasilkan usahawan tempatan dijual di atas kapal terbang syarikat itu selain yang sedia ada.

“Alhamdulillah ini antara pencapaian sederhana yang pegawai-pegawai KPDNHEP berjaya capai dalam dua hingga tiga bulan pertama tahun ini,” katanya semasa berucap dalam Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kementerian itu akan membantu usahawan tempatan membayar yuran penyenaraian bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di pasar raya besar di negara ini.

Katanya, yuran yang dikenakan agak mahal menyebabkan ada barangan yang dihasilkan usahawan, walaupun berkualiti gagal masuk ke pasar raya.

“Kita akan gunakan peruntukan RM20 juta yang disediakan bagi kempen Beli Barangan Malaysia untuk bayar yuran itu, selain mempromosi dan menganjurkan Karnival Jualan Pengguna.

“Kita tetapkan sasaran sebanyak 30 peratus barangan yang dijual di pasar raya diambil dari usahawan tempatan. Hari ini ada pasar raya yang jual 18 peratus, ada yang 12 peratus dan ada yang tak sampai 10 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai karnival tersebut, beliau memberitahu, ia telah dianjurkan di Sabah, Kedah dan Pulau Pinang dengan menawarkan barangan keperluan seperti ayam, daging, telur dan beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau berkata, pihaknya bercadang menambah kekerapan karnival itu sepanjang tahun ini supaya lebih ramai rakyat menerima manfaatnya. - UTUSAN ONLINE