Menurut Ahmad Zahid, beliau akan menyambung semula memberi keterangan selepas solat Jumaat nanti.

"Sesi memberi keterangan akan berhenti rehat untuk saya menunaikan solat fardu Jumaat dan makan tengah hari," katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 12.23 tengah hari dan dijangka menyambung memberi keterangan pada pukul 3 petang ini.

Beliau hari ini tampil sekali lagi bagi memberikan keterangan kepada SPRM untuk kali kelima.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang mengenakan baju warna putih dilihat tiba di ibu pejabat SPRM di sini dengan menaiki kenderaan jenis Lexus berwarna putih pada pukul 9.18 pagi.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut dipercayai memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.

Semalam dan kelmarin, Ahmad Zahid telah dipanggil memberi keterangan masing-masing selama lapan dan sembilan jam selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.-UTUSAN ONLINE