Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, ini merupakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dalam Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) untuk membantu kemenangan calon di Semenyih.

Katanya, sebagai ahli parti yang bertanggungjawab, beliau mesti bersama-sama parti untuk membantu calon berkempen.

“Saya juga mengesyorkan kepada mereka yang mendesak supaya saya meletakkan jawatan itu, sepatutnya berada di sini, berhadapan dengan rakyat untuk membawa kemenangan kepada parti. Ini tanggungjawab utama kita, bukan kerana kita dibubarkan jawatan.

“Insya-Allah, kalau ditakdirkan saya tidak lagi memegang jawatan pengerusi parti atau Menteri Besar Perak, saya harap, saya tidak berubah niat perjuangan untuk bersama-sama dengan parti dan rakyat. Mesti kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah kempen PH di Pusat Daerah Mengundi Batu 26, Beranang, di sini semalam.

Ahad lalu, lapan Ketua Bahagian Bersatu di Perak enggan menerima notis pembubaran bahagian masing-masing sambil mendesak Ahmad Faizal meletakkan jawatan.

Ketua Bahagian Gerik, Ibrahim Hanafiah berkata, Ahmad Faizal perlu meletakkan jawatan kerana gagal dan tidak mampu mentadbir urus parti berkenaan dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai masalah di peringkat akar umbi.

Menurutnya, perkara paling ketara ialah pembubaran beberapa bahagian parti itu di negeri ini yang dikatakan tidak mengikut perlembagaan parti selain alasan pembubaran yang tidak benar.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengarahkan semua pihak memberikan perhatian pada PRK DUN Semenyih manakala isu Bersatu di Perak akan ditangani selepas itu.

Tambah Ahmad Faizal, beliau hadir memberi ceramah ke Semenyih bukan atas jemputan, tetapi atas inisiatif sendiri.

“Saya sendiri merekodkan kehadiran saya di sini sebagai bercuti untuk berada di sini, membantu kempen yang sedang dijalankan.

“Ini di atas inisiatif saya sendiri. Saya tahu ada pilihan raya. Kita ke sini sama-sama membantu, ramai ketua-ketua bahagian juga berada di sini,” katanya. - UTUSAN ONLINE