Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar memberikan analogi, UMNO seperti sebatang pokok redang dan yang akan menguatkannya adalah akar iaitu ahli di peringkat cawangan.


“Kalau ‘akarnya’ sudah dimakan anai-anai, tiba-tiba nanti kita tengok pokok dah tumbang. Kita tidak pakai kapak pun untuk menebang pokok kerana akar tunjangnya sudah reput.


“Hebat macamanapun UMNO ini kekuatannya (masih) terletak pada cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara. Kalau satu bahagian atau cawangan tidak boleh mesyuarat contohnya kerana tidak cukup korum, itu tandanya akar kita dah mula nak mereput,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Savanaah Hill Resort, Ulu Tiram di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram. - UTUSAN ONLINE