DR. SYED HUSIN ALI
DR. SYED HUSIN ALI

Seorang anggota kanan PKR mengakui wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli parti tersebut berikutan pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara itu.

Ahli Biro Politik PKR, Dr. Syed Husin Ali bagaimanapun meminta ahli-ahli PKR menerima keputusan tersebut yang telah ditetapkan oleh kepemimpinan tertinggi gabungan parti pembangkang dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

“Pimpinan Pakatan Harapan dah capai persetujuan tentang calon Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri dan kedudukan (Datuk Seri) Anwar. Ada sebilangan tak puas hati. Semua mesti akur. Tak usah panjangkan,” katanya dalam status di Twitter rasmi beliau hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Mohd. Hizwan Ahmad berkata, PKR Selangor merasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu.

Ini kerana, katanya, PKR Selangor merasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang perjuangan yang dilakukan, parti itu tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri bagi diusung sebagai calon bakal Perdana Menteri negara ini.

“Perlu diingatkan bahawa, kini negara sedang berdepan dengan zaman baharu.

“Golongan milenial pastinya mahu melihat seorang tokoh segar, kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh dan berkesan untuk membawa negara ini keluar dari kepompong kerosakan, rakyat tidak mudah lupa, penggerak asli reformasi juga tidak akan lupa,” katanya.

Justeru, Hizwan menegaskan, reformasi total mesti ditegakkan dari semua aspek sama ada dari segi istem, dasar, pentadbiran dan juga pentadbirnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAN Kuala Lumpur, Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan turut melahirkan kekecewaannya mengenai pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu yang seolah-olah meminggirkan PAN.

“Bukan mudah untuk berusaha mencapai keseimbangan antara keputusan keras, keputusan yang melihat ruang lebih luas dan membalas dendam untuk menuntut hasil lebih adil,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua DAP Pahang, M. Manogaran seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today berkata, keputusan Pakatan Harapan menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri itu seperti pengakhiran filem Tamil yang baik.

“Keputusan yang dibuat semalam rumit dengan memikirkan keadaan sekarang menyebabkan Dr. Mahathir dipilih untuk memimpin kerajaan Pakatan Harapan sehingga Anwar mengambil alih kepemimpinan,” katanya. - UTUSAN ONLINE