Borang keahlian Prabakaran, 22, itu diserahkan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua pada Majlis Kesyukuran Parlimen Batu di tapak pasar malam Taman Dato’ Senu di sini hari ini.

Tian Chua yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati beliau hilang kelayakan bertanding berjanji memberi sokongan dan membantu Prabakaran.

Sementara itu, Prabakaran ketika ditemui pemberita mengakui beliau terkejut dengan kemenangannya.

“Tanpa sokongan ibu bapa, penduduk dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, sudah tentu saya tidak dapat mengecapi kemenangan ini,” katanya.

Prabakaran, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu memperoleh 38,125 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687 , calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan calon Bebas, Datuk V. M. Panjamothy (383). -UTUSAN ONLINE