Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, hala tuju Malaysia baharu sepatutnya memartabatkan institusi Parlimen dan bukan mengotorinya dengan kata-kata jelik.

“Sudah jadi kerajaan, tunjukkan nilai negarawan dan Malaysia baharu sebagaimana yang dilaungkan.

“Apa manfaatnya berterusan melabel dan menggunakan bahasa tidak bermoral kepada pihak yang tidak sehaluan dalam institusi Parlimen yang hendak dimartabatkan kedudukannya,” katanya dalam status di Twitter beliau hari ini.

Perjalanan persidangan pertama penggal pertama Parlimen Ke-14 hari ini kecoh apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menyifatkan beberapa ahli Pemuda UMNO yang didakwa menyerang mendiang Karpal Singh di Dewan Rakyat suatu ketika dulu sebagai samseng.

Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang dengan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangkit meminta supaya Ramkarpal menarik semula perkataan ‘samseng’ yang disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati dewan. – UTUSAN ONLINE