Katanya, sentimen agama dan perkauman yang dibawa oleh kedua parti itu bukan langkah yang baik untuk Malaysia akan datang.

Malah katanya, gabungan kedua-dua parti orang Melayu itu akan membawa agenda tidak sihat di dalam negara sekali gus menafikan hak bahawa Malaysia adalah untuk dikongsi oleh pelbagai kaum.

“Memang parti Melayu mendepani kepemimpinan politik negara tetapi bukan sampai menafikan suara bangsa-bangsa lain. Apa yang cuba dibawa oleh UMNO dan Pas amat merbahaya untuk negara.

“Mahu tidak mahu kuasa politik perlu diuruskan dengan melibatkan semua bangsa namun dalam masa sama hak orang Melayu dalam Perlembagaan terus terjamin," katanya ketika ditemui selepas Majlis Santai Petang Mahasiswa di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan kajian yang dibuat agensi perundingan, Ilham Centre meramalkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas bakal memberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) jika keresahan orang Melayu tidak dihiraukan Pakatan Harapan.

Sebelum itu, hasil kajian Ilham Centre bersama Penang Institute mendapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan setelah mereka menjadi kerajaan kira-kira 10 bulan lalu.

Kajian tersebut mendapati kebanyakan responden tidak percaya Pakatan Harapan serius melaksanakan agenda Melayu termasuk mempertahankan hak-hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, cabaran kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai visi hasil daripada gabungan semua kaum.

“Gabungan semua bangsa adalah cara lebih adil dan sesuai dengan situasi negara kita yang pelbagai kaum.

“Model perkongsian politik dibawa sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama) adalah budaya lebih sesuai untuk negara kita," katanya. - UTUSAN ONLINE