Ringkas sahaja reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membalas kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Hasanuddin Mohd. Yunus berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikatakan menepati maqasid syariah dalam Islam.

Bukan itu sahaja, Najib turut membuat perbandingan penerimaan pelaksanaan sistem AES ketika zaman pemerintah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kata Najib, AES pada zaman BN dianggap zalim dan menindas rakyat. manakala pada zaman PH, AES dianggap menetapi maqasid syariah.


“Saya dengar parti Amanah telah umum AES bertepatan dengan maqasid syariah berdasarkan perbualan mereka dengan Menteri Pengangkutan DAP.

“Mengapa tidak pernah umum begitu sebelum ini? Kenapa tiba-tiba selepas jumpa Menteri DAP terus dapat ‘sinar kerohanian’,” kata Najib dalam satu status hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Tambah Najib, kenyataan itu juga disifatkan bertujuan memenangkan tindakan kerajaan hari ini.

“Sia-sia BN kena serang pasal AES pada masa dulu. Nampak sangat nak ‘backup’ Menteri "I don't care" DAP saja,” katanya.

Semalam Utusan Online melaporkan Hasanuddin dalam kenyataannya di Facebook membuat kesimpulan AES menetapi maqasid syariah berdasarkan perbualan beliau dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu.

Jelas Hasanuddin, hal itu adalah berikutan pemasangan kamera AES akan menjaga nyawa pemandu serta penumpang kenderaannya, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya.  – UTUSAN ONLINE