Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, lebih melucukan apabila ada dalam kalangan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang cuba mengaitkan pelaksanaan sistem tersebut dengan konsep maqasid syariah.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila PH yang ketika itu pembangkang berdegar-degar mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) agar memansuhkan penguatkuasaan kamera AES.

"Pelbagai perkataan buruk mengenai AES kedengaran, ada juga dalam kalangan mereka yang menyarankan supaya rakyat tidak membayar denda (saman) kerana menurut mereka hal ini membebankan rakyat.

"Namun, tiba-tiba hari ini kerajaan PH pula menguatkuasakan kembali pelaksanaan AES dengan sistem baharu berjenama Awas (Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik) yang suatu ketika dahulu merupakan bahan kempen politik mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus yang sebelum ini menyifatkan pemasangan kamera AES menepati maqasid syariah menegaskan pelaksanaan sistem itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya dan bukan mengaut untung daripada saman yang dikeluarkan.

Mengulas mengenai maqasid syariah yang dikaitkan dengan sistem itu, Ahmad Fakhruddin berkata, kerajaan PH seharusnya menekankan konsep tersebut dalam hal-hal berkaitan pemeliharaan syiar Islam, pelaksanaan perundangan dan ekonomi Islam dalam pentadbiran mereka.

"Malah, sepatutnya juga tekankan (maqasid syariah) untuk memelihara aset muslimin serta memelihara perpaduan ummah berteraskan Islam atau dengan erti kata lain meletakkan sesuatu tidak mengikut keutamaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau menyifatkan dakwaan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang kononnya pernah melihat slip transaksi bank daripada UMNO kepada Pas sebagai mengarut.

"Masih ada lagikah yang percaya dengan dakwaan mereka? Isu ijazah palsu pun tak mampu tepis, macam mana rakyat nak percaya cerita karut.

"Sekiranya dia ada maklumat, pergi sahaja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan buat laporan serta bawakan sekali slip transkrip berkenaan," tegasnya. -UTUSAN ONLINE