Sambil mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan pemasangan AES, Mahfuz berkata, dua hukuman dalam satu kesalahan yang ditetapkan melalui sistem tersebut juga dilihat tidak wajar.

Katanya, beliau telah memberi mesej kepada Anthony Loke Siew Fook berhubung perkara tersebut dan yakin Menteri Pengangkutan itu memahaminya.

“Saya sudah beri mesej dekat dia (Anthony Loke) dan dia tahu mengenai pendirian saya (membantah AES) daripada awal dahulu. Dia juga sama-sama dengan saya dahulu menentang AES,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Instimewa di Kampung Mengkuang Layu, Utan Aji, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mahfuz juga tidak bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd. Yunus bahawa pemasangan kamera AES menepati maqasid syariah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berpendirian bahawa AES daripada zaman kerajaan dahulu sehingga sekarang adalah tidak wajar.

“Pendirian saya tidak pernah berubah sehingga sekarang. Saya fikir apa paling penting di pihak kerajaan, kalau hendak laksanakan sistem berkenaan, laksanakan dengan jumlah sedia ada, bukan menambah lagi bilangan kamera AES.

“Saya lihat apa yang paling penting adalah mendidik masyarakat mengenai disiplin di jalan raya. Selain itu, saya fikir kokurikulum di sekolah memandu juga perlu berubah. Kita kena akui, punca kemalangan kebanyakannya disebabkan disiplin pengguna jalan raya itu sendiri,” katanya.

Baru-baru ini, Hasanuddin berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Anthony Loke sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pandangan Hasanuddin itu dipertikai oleh ramai pihak yang menyifatkannya menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan AES oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE