Dalam masa sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga tidak mempunyai masalah sekiranya pemilihan semula bagi memilih kepemimpinan diadakan, andai langkah itu mampu memberi kebaikan kepada parti.

Kata Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu, apa yang lebih penting adalah kepemimpinan serta ahli UMNO perlu bersatu dan fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sekarang kita tidak mahu berlaku sebarang unsur-unsur perpecahan kerana ia merugikan UMNO. Apa jua tindakan dan lantikan perlu ada perbincangan dan muafakat.

“Di saat rakyat sedang menolak Pakatan Harapan (PH), kita perlu merapatkan dan perkemaskan saf dalam menghadapi PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas wujudnya suara-suara dan desakan daripada akar umbi UMNO supaya pemilihan semula parti diadakan rentetan situasi semasa dalam parti itu termasuklah kembalinya Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kepemimpinan tertinggi BN.

Pelantikan Najib mengundang pelbagai reaksi antaranya Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap ia satu langkah ke belakang dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui tidak gembira mendengar berita itu.

Tambah Zahidi, beliau percaya, suasana di dalam parti pada masa ini cukup harmoni dan jika ada sebarang ketidakpuasan hati boleh diselesaikan dengan baik melalui perbincangan.- UTUSAN ONLINE