HUSIN AWANG
HUSIN

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husin Awang berkata, Anwar bukan sahaja berdepan calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas bahkan, turut ditentang bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di samping tiga calon lain.

"Anwar merupakan pemimpin yang terkenal di peringkat antarabangsa dan berpengaruh tetapi apabila ditentang secara begitu meluas oleh pelbagai sektor rakyat kita melihat ada sesuatu yang tidak kena pada diri dia.

"Di pihak Pas, kita mengharapkan kemenangan kerana tujuan kita masuk bertanding memang untuk menang namun, soal menang atau kalah ini semuanya ditentukan pengundi," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita semasa menghadiri perasmian Kursus Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem e-Dewan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri di Hotel Primula, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Turut bertanding sebagai calon Bebas ialah Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.

Sementara itu, Hussin berkata, Pas Terengganu bakal menghantar lima kumpulan jentera yang setiap satunya terdiri daripada 20 orang bagi membantu urusan kempen calon parti tersebut. - UTUSAN ONLINE