TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM

Tanpa menyebut pi­hak terbabit yang dipercayai merujuk gabungan pembangkang PKR, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rupanya ada pihak cemburu apabila Pas menyatakan hasrat berkenaan.

“Ada pihak bertanya di mana Pas dapat duit untuk bertanding ba­nyak kerusi Parlimen. Suatu masa mereka ka­ta kita dapat RM90 juta.

“Lalu kita jawab, duit Pas berada di dalam poket ahli Pas sendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis Pengisytiharan Calon Pas-Gagasan Sejahtera Negeri Pahang di Padang Awam Cenderawasih di sini malam tadi.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabbar mengumumkan Pas Pahang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 40 daripada keseluruhan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Selain Ketua Pene­rangan Pas, Nasrudin Hassan di kerusi Parlimen Indera Mahkota, parti itu turut mele­takkan dua calon bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) iaitu Pengerusinya, N. Balasubramaniam di Parlimen Bentong dan bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Kumar di DUN Tanah Rata.

Keputusan itu menyaksikan Pas Pahang bakal bertanding di kesemua kerusi Parlimen dan dijangka mengumumkan dua lagi calonnya bagi DUN Triang dan Tras sebelum hari penamaan calon pada 28 April ini.

Baru-baru ini, bekas pemimpin buangan Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai PAN mempersoalkan dari mana Pas akan memperoleh wang sekiranya parti berkenaan bertanding 160 kerusi Parlimen memandangkan wang deposit calon dan bahan kempen mencecah jutaan ringgit.

Sementara itu dalam sidang akhbarnya, Tuan Ibrahim berkata, Pas bertanding pada PRU-14 untuk menang bukan sebagai pengacau.

Berhubung soalan adakah beliau akan bertanding PRU-14, Timbalan Presiden Pas itu berseloroh dengan menyatakan beliau juga menantikan namanya diumumkan sebagai calon oleh Pas Pahang, namun tiada.

“Saya (sebagai calon Pas PRU-14) mungkin tempat lain akan umum,” katanya.