Menurut laporan The Star yang memetik sumber, perkara itu dimaklumkan sendiri Dr. Mahathir kepada barisan menteri semasa mesyuarat Kabinet semalam.

“Dr. Mahathir memaklumkan yang beliau akan bertemu ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) pada sebelah petang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber tersebut mendakwa pengumuman mengenai rombakan itu pertama kali dinyatakan secara terbuka oleh Dr. Mahathir dalam mesyuarat Kabinet selain menyatakan akan berlaku perubahan portfolio beberapa menteri.

Bagaimanapun, sumber yang lain mendakwa, Dr. Mahathir dijangka tidak akan menukar barisan menteri yang ada dan hanya akan menukar portfolio dalam kalangan mereka semata-mata.

“Beliau (Dr. Mahathir) mahu bertemu dengan empat pimpinan utama dalam PH ketika pakatan tersebut membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Sebab itu lah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini memegang jawatan Presiden PKR menyertai mesyuarat tersebut. Tujuannya adalah kerana Perdana Menteri mahu kami menjadi lebih cekap dan berkesan dalam pentadbiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE