Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, selain percaturan parti politik lawan, tindakan itu berlaku kerana jati diri serta semangat perjuangan yang lemah dalam kalangan pemimpin berkenaan.

“Kita tidak perlu pergi terlalu jauh. Saya berani jamin ada lagi ahli MKT yang sedang bersiap sedia untuk meninggalkan parti,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam di Facebook miliknya semalam.

Kenyataan tersebut dibuat bagi mengulas keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO semalam, selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru berkata, ahli UMNO tidak perlu bimbang dengan perkembangan tersebut kerana yang pergi hanya pemimpin, bukan ahli di bawah mereka.

Jelasnya, UMNO boleh kembali menjadi kuat, lebih-lebih lagi menerusi kerjasama dengan Pas.

“Kita jangan sesekali berputus asa dengan apa yang berlaku. Sekalipun seluruh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pergi meninggalkan kita, biarkanlah mereka. Saya yakin dengan kerjasama dengan Pas.

Kita akan dapat lebih banyak kerusi Melayu selepas ini,” ujarnya.

Mengulas tindakan Mustapa, Lokman berkata, dia tidak terkejut kerana menganggap Mustapa bukan ahli politik sebenar tetapi, bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang dibawa oleh Tun Daim Zainuddin ke dalam kancah politik.

“Dia pernah dilantik Setiausaha Sulit Kanan kepada Tun Daim sebelum dilantik Setiausaha Politik Tun Daim dan seterusnya bertanding di peringkat Parlimen,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE