ABD. LATIF BANDI
ABD. LATIF BANDI

Menurut Abd. La­tif, 51, peletakan ja­watan tersebut dibuat susulan pendakwa­an terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

"Susulan pendakwaan semalam, saya mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ne­geri Johor.

"Saya menjunjung setinggi-tinggi terima kasih ke atas Sultan Johor dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi syarikat guamannya, Adzly & Co. di sini hari ini.

Sementara itu, Abd. Latif dibebaskan hari ini setelah membayar wang jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Peguamnya, Ibrahim Haikal berkata, Abd. Latif membuat proses bayaran ikat jamin itu di Tingkat 1, Kompleks Mahkamah di sini, pada pukul 2 petang.

“Anak guam saya dibawa ke mahkamah pagi tadi dan berjaya membayar ikat jamin RM2 juta pada 2 petang tadi.

“Beliau kemudiannya me­ninggalkan mahkamah bersama-sama ahli keluarganya kira-kira 2.30 petang,” katanya yang turut bersama Abd. Latif ketika proses membayar jaminan.

Semalam, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Endau itu terpaksa ditahan di Pusat Tahanan Reman Ulu Choh, Pontian kerana gagal menjelaskan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku tidak bersalah bagi 33 pertuduhan bersubahat dengan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub, menerima rasuah lebih RM30.3 juta.

Amir Shariffuddin yang turut mengaku tidak bersalah bagi 33 pertuduhan menerima rasuah bagaimanapun dibebaskan semalam selepas membayar ikat jamin RM2 juta.

Dalam pada itu, Kerajaan ne­geri sudah menerima surat peletakan jawatan Abd. Latif berkuat kuasa hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kan­dungan surat berkenaan turut memaklumkan Abd. Latif melepaskan semua jawatan rasmi dalam kerajaan negeri.

“Pihak kerajaan negeri dan saya secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh beliau sepanjang bertugas dengan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.