Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR itu menegaskan, beliau sama sekali tidak berdiam diri meskipun sudah mengendurkan diri buat seketika dengan memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam soal tersebut.

Katanya, rancangan untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri itu masih diteruskan dan beliau bersama rakan-rakan lain akan terus menentang secara habis-habisan.

“Kebelakangan ini saya diserang hebat kerana mempertahankan seorang insan yang terbukti kehebatannya (Anwar). 

“Saya akui rata-rata di luar sana tidak memahami apa yang saya madsudkan, tetapi apabila mereka menyerang saya maknanya mereka ada kepentingan dan terlibat secara langsung untuk menggagalkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sudah pastinya saya tidak akan berdiam diri walaupun diarahkan mengendurkan diri seketika,” katanya ketika berucap dalam program Penerangan Reformasi 20 tahun di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Abdullah Sani memohon maaf kepada Dr. Mahathir selepas mengaitkan Perdana Menteri itu dalam pemilihan PKR dan mendakwa ada cubaan menghalang peralihan kuasa kepada Anwar.

Sebelum ini, Abdullah Sani mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui Pakatan Harapan.- UTUSAN ONLINE