Beliau sebaliknya memberi alasan bahawa isu AES adalah berada di bawah Kementerian Pengangkutan dan sehubungan itu tidak boleh mencampurinya.

“Pertama, kena rujuk dengan Kementerian Pengangkutan, itu bidang kuasa mereka dan saya sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia tak boleh sentuh hal-hal berkaitan Kementerian Pengangkutan.

“Kedua, saya tak mahu sentuh sangat berkenaan bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ini kerana dia hanya taraf raja lawak bagi saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mahfuz menyampaikan Cek Faedah Pengurusan Jenazah kepada keluarga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara, Allahyarham Norwahidah Abdul Hamid yang meninggal dunia dalam kebakaran di Sepang, Selangor, Isnin lalu.

Sebelum ini, ramai pihak mempersoalkan pendirian Mahfuz yang merupakan antara individu paling lantang membantah AES yang disifatkan hanya untuk memeras duit rakyat dan menzalimi mereka.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ditanya pendirian peribadinya berkata, beliau kekal dengan pandangan seperti sebelum ini.

“Saya fikir itu sudah jelas tentang pendirian (peribadi) saya selama ini dan saya percaya kerajaan harus memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz turut meminta kerajaan mengkaji semula Sistem Mata Demerit yang disifatkan hukuman dua kali kepada pengguna jalan raya.

“Pertama pengguna perlu bayar kompaun dan kemudian demerit juga memotong mata yang sehingga satu peringkat boleh digantung lesen mereka. Ini menunjukkan dua kali mereka dihukum dan bagi saya ia tidak wajar,” katanya.

Mengulas berkaitan video-video lama yang memaparkannya membantah AES kembali tular, Mahfuz secara bersahaja berkata, beliau tidak ada masalah dalam soal itu.

“Tiada apa, itu saya bagi kerja tambahan kepada mereka sebagai sumber pendapatan tambahan mungkin Youtube boleh bayar kepada mereka,” katanya.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan pula sama ada pemimpin UMNO kini bersetuju menghapuskan AES atau tidak jika mereka kembali menerajui kerajaan nanti. - UTUSAN ONLINE