Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau tidak melihat akan berlaku gelombang tsunami Melayu seperti mana tsunami Cina pada PRU-13 yang banyak membantu kemenangan pembangkang pada masa itu.

Katanya, rakyat berhak membuat pilihan dan penilaian sama ada hendak memilih gabungan pembangkang PKR atau kerajaan BN yang semua sedia maklum telah memberi khidmat terbaik selama ini.

“Ya..saya yakin dengan tsunami Melayu, tsunami Melayu itu akan memastikan BN terus kekal dengan kemenangan lebih selesa.

“Adakah kita hendak pilih berdasarkan mainan emosi dimainkan oleh pembangkang termasuk menawarkan tawaran-tawaran tidak masuk akal dalam manisfesto mereka yang pastinya rakyat sendiri boleh menilai.

“Pada masa sama, kita sendiri boleh lihat apakah kerajaan sekarang sedang menuju kebankrapan seperti didakwa pembangkang. Kita dapat lihat, badan-badan agensi antarabangsa telah memberi penarafan terbaik terhadap ekonomi Malaysia dan situasi itu sudah cukup memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengekalkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Denai Larian, Pangkalan Asam di sini hari ini.

Sementara itu, Azlan yang juga Menteri Besar berkata, kebanyakan isu dimainkan gabungan pembangkang PKR serta manifesto mereka dilihat tidak masuk akal termasuk hendak menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Saya ingin cabar mereka gantikan GST dengan sistem yang lebih baik, di mana sistem itu dapat memastikan pihak yang tidak membayar cukai selama ini dapat membayarnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE