Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan penilaian cetek oleh parti pembangkang ekoran beberapa nama besar daripada UMNO dan Pas yang keluar parti dan menentang kerajaan.

Menurutnya, parti pembangkang terutama DAP menyangka apabila bekas-bekas pemimpin UMNO dan Pas meninggalkan parti masing-masing, maka UMNO dan Pas akan menjadi lemah.

Sebagai contoh, kata Zambry, DAP mungkin menganggap Pas lemah setelah Mohamad Sabu dan beberapa lagi pemimpin Pas meninggalkan parti itu.

“DAP tersalah baca kekuatan UMNO dan Pas. Mereka perlu i­ngat bahawa UMNO dan Pas ialah dua parti dominan orang Melayu dan kedua-duanya tidak lemah walaupun beberapa nama-nama besar dalam parti itu kini menyertai pembangkang.

“Dalam PRU yang lalu berlaku tsunami pengundi Cina namun perlu diingatkan ketika itu Pas bersama-sama mereka dalam pakatan pembangkang.

“Tetapi kini Pas tidak lagi bersama mereka dan saya percaya ‘tsunami Melayu’ menolak UMNO dan mengundi pembangkang tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gerik di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Pengerusi Veteran UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Sementara itu, Zambry yang juga Menteri Besar berkata, UMNO negeri sudah menghantar senarai nama calon untuk bertanding dalam PRU-14 kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Nama-nama ini termasuklah wakil rakyat sedia ada dan calon-calon baharu yang dipertimbangkan untuk bertanding,” katanya.

Zambry turut mengingatkan pemimpin UMNO negeri supaya tidak berebut-rebut untuk menjadi calon wakil rakyat sehingga mengakibatkan hilang fokus untuk menghadapi PRU akan datang.

“Tiada gunanya kita menang dalam pemilihan parti sedangkan kita kalah dalam pilihan raya,” katanya.