Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selagi sikap tamak dan ego kerana berasakan parti masing-masing kuat terus diamalkan, tidak mustahil pakatan tersebut akan terus berdepan pelbagai masalah selepas mereka berjaya membentuk kerajaan.

Sehubungan itu tegas beliau, rakyat wajar berasa ragu-ragu untuk memilih memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi mentadbir negara.

“Belum jadi kerajaan sudah berbalah tentang kerusi, dan sampai sekarang gagal selesaikan. Berbalah pula secara terbuka. Bagaimana nak jadi kerajaan baik dan berkesan jika tidak menunjukkan sikap tolak ansur dan persepakatan dalam menguruskan parti.

“Saya fikir ini semua sebab tamak kepada kerusi, masing-masing berasa diri kuat dan mahu menang kerusi lebih. Ini isu besar yang ada pada pakatan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Isu pengagihan kerusi Pakatan Harapan kini berlaku di beberapa negeri dengan yang terbaharu, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Bharu mendedahkan rasa tidak puas hati terhadap PAN kerana mahu mendominasi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Difahamkan, pemimpin negeri PKR, PPBM, PAN dan DAP sudah enam kali bermesyuarat dalam tempoh dua minggu ini namun tiada keputusan dibuat terhadap sekurang-kurangnya 14 kerusi DUN yang menjadi rebutan keempat-empat parti. - UTUSAN ONLINE