Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan pilihan raya bukan hanya ditentukan oleh persepsi, sebaliknya bergantung juga kepada faktor demografi pengundi dan lokasi.

“Kita melihat potensi di Rantau tak sama dengan di Semenyih. Jumlah pengundi di Rantau dan Semenyih juga tak sama. Begitu juga pengundi bukan Melayu.

“Dalam politik semua berkemungkinan. Apa-apa boleh berlaku. Kita ada lebih sebulan sehingga hari mengundi pada 13 April. Ada masa lagi. Macam main bola sepak ada 90 minit. Harapan saya ‘pemain-pemain’ PH menggunakan peluang yang ada untuk menang,” ujarnya.

Menteri Besar itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, PH yang turun sebagai ‘underdog’ di Rantau mempunyai peluang untuk merampas kerusi yang dimenangi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak tiga penggal lalu.

“Saya harap dengan strategi yang kita ada dan tak perlu saya umumkan di sini, maka peluang kita adalah besar,” katanya.

Mengenai dua individu iaitu Naib Ketua Cabang Rembau, Datuk Haniff Hassan dan bekas duta, Datuk Iskandar Saharuddin yang dikatakan disenarai pendek sebagai calon, beliau berkata, PH sentiasa mengamalkan sikap terbuka.

“Sesiapa juga boleh hantar nama dan akan diteliti. Tetapi saya juga menasihatkan penyokong supaya memberi masa kepada pimpinan untuk memilih calon yang boleh membawa kemenangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE