Perumpamaan tersebut mungkin sesuai bagi menggambarkan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering kali menyalahkan kerajaan terdahulu meskipun sudah setahun memerintah.

Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sebaliknya sekiranya kerajaan PH merasakan bahawa mereka lebih baik dan layak, maka barisan pemimpinnya perlulah membuktikannya.

Katanya, selepas diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah, maka kerajaan pada hari ini sepatutnya mengambil kesempatan itu untuk melakukan yang terbaik.

“Kalau dia (PH) masih salahkan orang lain, maknanya mereka tidak cukup kuat. Ibarat kalau kita tidak pandai menari tetapi menyalahkan lantai yang tidak rata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ramlah yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Silibus dan Buku Teks Sejarah sekolah menengah, selain perlu menunaikan janji manisfesto, kerajaan juga perlu mendengar pandangan rakyat seterusnya mempertimbang dan melaksanakannya.

Katanya, perlu diingat, rakyat sedang menilai prestasi kerajaan ini.

“Tugas kerajaan bukanlah hanya seronok apabila menang, tetapi bila diberi tanggungjawab perlu dibuat. Dalam soal janji, apabila kita menang secara umum, janji itu perlu ditunaikan, jika tidak, ia dianggap tidak amanah,” katanya.

Sementara itu, Ramlah turut berpandangan agar kerajaan meneruskan dasar yang dianggap baik untuk rakyat meskipun idea-idea tersebut datangnya daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, jika perkara itu baik, tidak salah untuk diteruskan kerana apa yang lebih penting rakyat memerlukan pembelaan.

“Orang ramai akan menilai dan membuat tafsiran mereka. Justeru kerajaan akan sentiasa terdedah dengan kritikan dan pandangan.

Kena sabar, nilai balik kritikan itu berasas atau tidak.

“Jika berasas, kita kena terima dan melakukan sesuatu bagi memuaskan hati rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE