Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, jumlah borang pencalonan itu merupakan satu rekod bagi PKR negeri kerana pada waktu sama semalam, PKR Pahang yang mempunyai 14 Cabang hanya terjual 400 borang pencalonan.

“Ini menunjukkan kesedaran yang cukup tinggi dalam kalangan anggota dan kepimpinan di peringkat akar umbi untuk mereka menawarkan khidmat sebagai pimpinan Cabang, saya fikir ini ada kaitan dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) memenangi Melaka.

“Sudah pastilah muncul tokoh-tokoh dan pimpinan yang lama dan baharu bergabung serta berganding tenaga untuk memberikan khidmat sebagai kepimpinan di peringkat Cabang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar berhubung pemilihan PKR peringkat negeri Melaka 2018 Pencalonan Bagi Jawatan Parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR memberitahu, pihaknya menggalakkan masyarakat untuk menjadi anggota dan hanya mereka yang berdaftar sehingga 26 Julai lalu sahaja boleh mengundi untuk pemilihan kali ini, manakala selebihnya perlu menunggu pemilihan tiga tahun lagi.

“Saya fikir parti mungkin akan melihat kalau ada bantahan-bantahan yg dibuktikanlah (penapisan calon), contohnya terlibat dengan jenayah misalnya ataupun masalah bankrupsi kadang kita tiada maklumat jadi dia tidak boleh bertanding. Sebab itulah disediakan satu tempoh masa itu (tiga hari) untuk pihak sekretariat membuat penelitian akhir.

“Saya harap kalau ada alasan-alasan yang betul-betul kuat boleh kita majukan dan saya galakkan anggota kepimpinan supaya kita ambil kesempatan pemilihan ini bertanding dengan cara yang sihat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE