Tidak ketinggalan bakal calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Datuk Seri Thiagaraja yang menyalurkan bantuan kepada golongan itu termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan keluarga miskin dalam satu majlis, semalam.

Thiagaraja berkata, dalam program tersebut, kira-kira 350 orang penduduk sekitar Sungai Tua terdiri daripada pelbagai kaum menerima sumbangan Bantuan Rakyat DUN Sungai Tua.

“Program ini bertujuan meringankan beban rakyat di kawasan DUN Sungai Tua serta merapatkan lagi hubungan silaturahim antara sesama penduduk dan wakil pimpinan setempat.

“Untuk makluman, penduduk di DUN Sungai Tua yang majoritinya Melayu mewakili kira-kira 65 peratus, India (25 peratus) dan Cina (lima peratus) manakala lain-lain adalah dua peratus,” katanya ketika menyampaikan bantuan tersebut di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Presiden Persatuan Ulul Amri, Syed Muhammad Imran S.N. Syed Abdul Aziz.

Penduduk terbabit menerima sumbangan berupa beras dan minyak masak.

Sementara itu, Syed Muhammad Imran berkata, selaku calon anak tempatan, Thiagaraja mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi DUN Sungai Tua, malah soal kebajikan penduduk sering dijadikan tumpuan utama oleh pemimpin muda tersebut selama ini. - UTUSAN ONLINE