Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kawasan tersebut ialah Bukit Pelanduk, Kuala Lukut dan Linggi.

"Kita mengklasifikasikan lokasi tersebut sebagai kawasan panas berdasarkan kajian lima tahun lalu.

"Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, laporan kes melibatkan lokasi tersebut sudah berkurangan. Pihak polis sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, sebanyak 141 permohonan permit ceramah telah diluluskan oleh polis sehingga kempen berakhir hari ini.

"Ia melebihi jumlah permit yang dikeluarkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu iaitu sebanyak 139 permit," ujarnya.

Aidi Sham juga menasihatkan para penyokong parti yang bertanding supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan provokasi kepada pihak lain.

"Polis telah menugaskan lebih 800 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan kontinjen Negeri Sembilan untuk membantu memastikan kelancaran PRK esok," ujarnya. - UTUSAN ONLINE