Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan itu diterima sama ada melalui dalam talian atau menerusi cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara.

Malah kata beliau, ‘gelombang’ perubahan ini dapat dirasakan apabila ramai golongan itu turut mengambil bahagian semasa setiap kali beliau mengadakan Facebook secara langsung.

“Tidak kurang 100 orang anak muda akan menghantar mesej secara peribadi untuk memohon menyertai UMNO selepas tamat saya bersiaran secara langsung.

“Kita dapat merasakan kekecewaan anak-anak muda terhadap pemimpin PH,” katanya selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kesungguhan Pemuda UMNO dalam perjuangan selepas kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lalu, kini telah menunjukkan hasilnya apabila semakin ramai kembali kepada parti tersebut.

“Pemuda UMNO adalah antara sayap paling awal bergerak, malah lima daripada Ketua Bahagian UMNO di Sabah dipangku oleh Pemuda UMNO setelah pemimpin mereka melompat parti,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desakan Lim Kit Siang agar pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik keluar dari negara ini, beliau berkata, Penasihat DAP tersebut yang sepatutnya meninggalkan negara ini.

Asyraf Wajdi berkata, hal demikian kerana berbanding kedua-dua individu itu, Kit Siang lebih banyak mencetuskan kekacauan dan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Kelmarin Kit Siang menyokong saranan yang ditulis oleh seorang konsultan, Anas Zubedy yang mahukan pendakwah kontroversi itu keluar dari negara ini secara sukarela kerana kehadirannya dikatakan boleh mencetuskan ketidakstabilan selain mencetuskan ketidakharmonian dalam ‘keluarga’ besar Malaysia. - UTUSAN ONLINE