Menurut Pengerusi Penaja Bersatu Sarawak, Johan Mohamad, pihaknya bersama dua lagi pasukan dipimpin Affendi Jerman dan Sharif Busrah akan berbincang dan menyelesaikan sebarang isu bersama memastikan dapat menghantar senarai 31 Bahagian Bersatu pada minggu depan.

“Penubuhan Bersatu di sini juga disambut baik Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan rakyat.

“Fokus dan objektif Bersatu di sini adalah memperjuangkan sosial ekonomi rakyat, perusahaan kecil dan sederhana, menaik taraf hidup masyarakat khususnya luar bandar dan keadilan dari segi pembahagian ekonomi,” katanya ketika sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap Bahagian Bersatu di sini disasarkan seramai 1,000 ahli.

“Pihak kita juga telah berhubung dengan DAP dan PKR Sarawak mengenai Bersatu Sarawak.

“DAP memberi respon positif dan pertemuan akan dibuat pada minggu hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata, sasaran ditetapkan pihak pusat untuk melancarkan Bersatu Sarawak selewat-lewatnya minggu kedua September hadapan. - UTUSAN ONLINE