Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, barisan exco yang dipersetujui pemilihannya oleh kesemua parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun dijangka menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terlebih dahulu pada Isnin depan.

"Saya sudah mendapat nama daripada keempat-empat parti dalam PH, sekarang ini dalam proses agihan portfolio untuk 10 exco.

"Isnin ini, setiap seorang (exco yang dipilih) akan menghadap sultan untuk diperkenalkan dan Selasa, dijangka akan berlangsung angkat sumpah supaya mesyuarat exco pertama dapat diadakan Rabu ini," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembahagian kuota exco antara parti dalam PH, Mukhriz memberitahu, empat ADUN yang dipilih adalah dari PKR, PAN (tiga), PPBM (dua) dan DAP, satu.

"Sementara Speaker DUN (dewan undangan negeri) daripada PKR dan timbalannya dipilih daripada PPBM," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz mengesahkan telah berjumpa pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berhubung tawaran untuk beliau kembali menerajui persatuan berkenaan.

"KFA ada berjumpa saya untuk menyampaikan tawaran untuk saya memegang semula jawatan presiden, jadi saya akan mempertimbangkan.

"Ini kerana saya pernah menyatakan PH akan menghapuskan orang politik dalam KFA sekiranya menang namun saya bersedia menerajui semula KFA jika ada permintaan orang ramai khususnya peminat bola sepak di negeri ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE