Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, janji-janji yang telah dibuat oleh PH pada PRU-14 lalu dirangka berdasarkan maklumat-maklumat awam yang telah diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah pada ketika itu.

Jelas Ahli Parlimen PKR Ampang tersebut, maklumat-maklumat berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar yang sedang dihadapi negara menjadikan janji-janji yang dibuat oleh PH untuk menyelesaikan isu-isu semasa yang berkaitan tidak dapat dilaksanakan pada masa ini.

Pun begitu, beliau yang merupakan Ketua Wanita PKR memaklumkan, dengan memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan masa kini, PH telah mendapat akses kepada maklumat yang lebih tepat dan kini sedang meneliti semua janji-janji yang dibuat berdasarkan data-data yang baharu di perolehi.

“Setelah PH memerintah, kami meneliti dokumen-dokumen di jabatan-jabatan kerajaan dan mendapati maklumat banyak yang bercanggah dengan apa yang didedahkan oleh kerajaan terdahulu.

“Manifesto PH dirangka menggunakan maklumat-maklumat awam ini sudah pastinya jika informasi itu salah, maka janji-janji yang dibuat akan turut terjejas,” jelas beliau kepada Utusan Online selepas menghadiri sesi pagi sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Zuraida memberikan penjelasan tersebut sebagai ulasan kepada prestasi kerajaan PH selepas 100 hari memerintah.

Prestasi kerajaan PH menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat selepas dilihat gagal untuk memenuhi beberapa janji yang telah dibuat pada PRU-14 yang lalu. - UTUSAN ONLINE