Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, selepas undi belah bahagi dilakukan, 158 orang Ahli Parlimen bersetuju dengan usul berkenaan.

"Tiada ahli yang tidak bersetuju, jadi oleh kerana tidak kurang daripada setengah daripada bilangan ahli majlis mengundi bersetuju dengan usul Perdana Menteri, maka usul ini disetujukan," katanya.

Usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sabah itu dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya dibahaskan oleh ahli Parlimen.

Sebelum ini, DUN Sabah meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal (2) Perkara 14, Perlembagaan Negeri Sabah berhubung komposisi keanggotaan DUN daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi yang berkuat kuasa pada 18 Ogos 2016.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan kajian persempadanan semula, selaras peruntukan Fasal (3A) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

SPR sudah menyiapkan dan menyerahkan Laporan Kajian Semula Persempadanan kepada bekas Perdana Menteri pada 21 Februari 2017, namun tidak diusulkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen ke-13 lalu.

SPR selanjutnya menyerahkan semula laporan itu kepada Dr. Mahathir dan diagihkan kepada semua ahli Parlimen pada 26 Jun lalu.

13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan. - UTUSAN ONLINE