Usul yang dikemukakan oleh Ismail Sabri pada petang semalam itu adalah bagi membahaskan laporan PAC mengenai wang tuntutan balik bayaran GST selain usul mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang membuat keputusan menolak supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Memberi maklum balas kepada peraturan mesyuarat oleh Ismail Sabri, Mohamad Ariff berkata, beliau terpaksa menolak kedua-dua permohonan usul tersebut kerana ia diterima pada pukul 6.30 petang dan ia di luar tempoh sekiranya mengikut peraturan mesyuarat.

"Itu tidak bermakna usul berkenaan tidak boleh dikemukakan sekali lagi untuk dibahasakan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Namun begitu, Ismail Sabri kemudiannya menjelaskan, sekiranya perkara berkenaan dibincangkan pada persidangan mesyuarat yang akan datang, ia sudah terlalu lewat kerana sidang Dewan Rakyat seterusnya dijangka hanya berlangsung pada bulan Oktober depan.

"Ia isu semasa yang perlu dibahaskan dengan segera, jika tidak akan terus berpanjangan di dalam dan luar Dewan, ia mesti diselesakani, kita hanya mahu membahaskan dan mahu mendegar jawapan Menteri Kewangan termasuk untuk membolehkannya mempertahankan diri," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata beliau hanya mengikut peraturan mesyuarat, jika tidak berbuat demikian akan ada pihak yang menggelarnya sebagai 'speaker yang tidak berguna'.

"Saya mengikut peraturan mesyuarat, kalau saya tak ikut, ada yang kata saya Speaker tak berguna, saya tidak akan kemana-mana. Bulan Oktober pun saya disini tiada masalah, itu keputusannya," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff menolak dakwaan berlakunya konflik berkepentingan sewaktu beliau membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Ia ekoran perkara dibangkitkan oleh Ismail Sabri yang mendakwa seorang Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan adalah anak kepada Mohamad Ariff.-UTUSAN ONLINE