Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan taman rekreasi itu nanti dijangka turut akan memberi manfaat kepada penduduk yang berada di kawasan sekitar.

“Berdasarkan perancangan syarikat pemaju yang juga merupakan pemilik tanah itu sekarang, kawasan tiga blok yang terjejas akan dibangunkan dengan projek taman rekreasi sementara tanah-tanah yang ada di sekitarnya akan dibina kira-kira 50 buat lot banglo.

“Ia bukan projek yang berisiko tinggi, akan turut memberi manfaat kepada penduduk sekitar. Nama Highland Towers akan dikekalkan kerana ia sejarah dan akan menarik perhatian pelancong untuk hadir,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Sementara itu, Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang memberitahu, laporan sepenuhnya mengenai aspek keadaan tanah, struktur bangunan dan undang-undang dalam pembangunan semula Highland Towers akan siap pada minggu pertama bulan Mei hadapan.

“Pada 4 April ini pula proses pengurusan kes akan dibawa ke mahkamah bagi mengeluarkan keputusan terhadap dua lagi blok bangunan.

“Keputusan itu akan bergantung kepada laporan yang diberi oleh Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers tersebut, sama ada struktur bangunan dan tanah tidak selamat da keputusannya menjurus kepada perobohan harus ditetapkan oleh mahkamah,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE