Lim Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya tidak berani untuk membuat ramalan seperti bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan harga barangan turun tetapi ia sekadar bersifat teori semata-mata, hakikatnya adalah sebaliknya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Guan Eng di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ketika menggulung Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu, Guan Eng memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan harga barang tidak naik sewenang-wenangnya selepas SST dilaksanakan.

Turut diluluskan dalam sidang hari ini adalah Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018, Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2018, Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Kelulusan kesemua rang undang-undang tersebut yang bertujuan memberi ruang kepada pelaksanaan SST menerusi undi suara majoriti membuktikan tiada ‘sabotaj’ berlaku di peringkat Dewan Negara seperti yang pernah dibimbangi Guan Eng sebelum ini.

Kebimbangan itu timbul berikutan terdapat seramai 32 senator mewakili BN serta tiga senator dari Pas berbanding jumlah keseluruhan ahli Dewan Negara sebanyak 55 orang.