Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, bacaan kali pertama rang undang-undang itu dijangka dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong selepas selesai sesi soal jawab lisan.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Dalam pada itu, sidang dewan yang bermula pada 10 pagi ini bakal membincangkan pelbagai isu yang dibangkitkan ahli Parlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan sesi soal jawab lisan.

Antaranya soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) kepada Menteri Kesihatan mengenai usaha yang dilakukan kerajaan bagi menangani masalah kesihatan mental rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.

Turut dijangka menarik perhatian ialah soalan dikemukakan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai ancaman terhadap kesihatan atau keselamatan yang timbul daripada menara-menara telekomunikasi dan radiasi pemancar.- BERNAMA