Ramli yang juga Ahli Parlimen pertama dalam kalangan Orang Asli dilihat langsung tidak kekok ketika berbahas dan sebagaimana janjinya sebelum ini, beliau membawa isu-isu masyarakat Orang Asli.

Ramli dalam perbahasannya meminta Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan memperuntukkan bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak Orang Asli yang akan mendaftar masuk ke universiti-universiti awam.

Isu itu dibangkitkan beliau kerana kebanyakan ibu bapa Orang Asli adalah dalam kala­ngan miskin tegar dan mereka tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan anak-anak mereka ke universiti.

Ramli berkata, bantuan itu wajar dalam bentuk wang tunai sementara menunggu pembiayaan Pendidikan atau biasiswa.

Beliau malah memberitahu, banyak yang perlu dibayar oleh ibu bapa  Orang Asli yang anak-anak mereka akan memasuki ke universiti termasuk kos pemeriksaan kesihatan dan kos pengangkutan pergi balik sewaktu menghantar anak-anak ke asrama.

“Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperuntukkan bantuan RM3,000 setiap orang sebagai persediaan pelajar Orang Asli mendaftar ke universiti.

“Saya harap kerajaan sekarang dapat menyemak semula nilai bantuan ini supaya dapat membantu para pelajar Orang Asli di luar bandar,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.