Sambil menyambut baik cadangan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Marzuki Yahya berkata, meskipun ketika ini, tiada duta mewakili negara di Palestin, namun Malaysia sentiasa mengambil maklum mengenai situasi yang berlaku di Palestin.

“Malaysia tidak mempunyai duta di Palestin namun kita selalu mengambil perhatian mengenai kedudukan rakyat negara itu menerusi duta mereka di Kuala Lumpur dan rakan-rakan kita yang berada di Jordan dan Mesir.

“Saya rasa, jawatan Duta Khas Malaysia ke Palestin adalah satu cadangan yang amat baik dan saya akan cuba bawa isu ini dan berbincang di peringkat kementerian,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soal­an tambahan Senator Dr. Mohd. Nor Monutty yang meminta kerajaan menyatakan sama ada bercadang untuk mewujudkan jawatan Duta Khas Malaysia ke Palestin.

Mengulas lanjut, men­jawab soalan Mohd. Nor yang ingin mengetahui langkah diambil kerajaan bagi melindungi hak asasi rakyat Palestin, Marzuki berkata, Malaysia sentiasa lantang dalam mengetengahkan masalah yang dialami oleh rakyat negara itu termasuk memperjuangkan status Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa.

“Lanjutan daripada tindakan Parlimen Israel mengetepikan hak bangsa Arab melalui kelulusan undang-undang mengiktiraf ta­nah diduduki sebagai negara kaum Yahudi, Malaysia juga bersama-sama negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain telah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel meluluskan undang-undang tersebut.

“Malaysia akan terus menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi penyertaan dalam debat terbuka mengenai isu Asia Barat yang diadakan setiap bulan supaya memainkan peranan yang lebih aktif selain melaksanakan tanggungjawab sepertimana termaktub dalam Piagam PBB bagi mencari penyelesaian berkekalan kepada kon­flik Palestin dan Israel,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini kutipan Tabung Palestin, Marzuki berkata, hampir RM500,000 sumbangan diterima setakat ini.