Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, golongan ini dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah fenomena biasa yang dihadapi negara membangun dan maju di dunia,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ma’Mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Tambah Perdana Menteri, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada tahun 2018 mencatatkan kadar 3.3 peratus manakala kadar pengangguran belia pada tahun 2018 adalah pada kadar 10.9 peratus.

Katanya, mengikut takrifan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 1999, negara yang mencatat kadar pengangguran di bawah empat peratus dikategorikan sebagai guna tenaga penuh.

“Belia juga dituntut memantapkan jati diri dan sikap agar menepati ciri-ciri pekerja yang dicari oleh majikan iaitu yang komited, rajin, berdaya tahan, kerja berpasukan, berkeinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan dan bersikap proaktif,” katanya. - UTUSAN ONLINE